makam TOK PULAU MANIS

makam TOK PULAU MANIS

Monday, December 14, 2009

Muhammad Thaiyib penerus tradisi ulama Banjar

BEBERAPA orang ulama yang berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, keluarga dekat dengan ulama yang diriwayatkan ini, telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia.

Mereka ialah Tuan Husein Kedah Al-Banjari, Generasi Penerus Ulama Banjar (16 Ogos 2004), Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri (23 Ogos 2004), Mufti Jamaluddin Al-Banjari, Ahli Undang-Undang Kerajaan Banjar, (15 Ogos 2005), Haji Yusuf Saigon Al-Banjari, (22 Ogos 2005) dan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, Pengarang Sabil Al-Muhtadin (19 September 2005). Pada judul-judul yang tersebut ulama yang bernama Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari adalah jalur ke atas ulama yang diriwayatkan ini, sedang Tuan Husein Kedah al-Banjari adalah cucu beliau

Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Di antara nama yang digunakan dalam penulisan ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Khalidi an-Naqsyabandi. Penambahan perkataan "al-Khalidi an-Naqsyabandi" adalah berdasarkan sebuah karya beliau judul, "Fat-hul Hadi. Dengan digunakannya perkataan yang tersebut berertilah ulama yang berasal dari Banjar yang tinggal di Kedah tersebut adalah seorang sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah.

Daripada maklumat di atas jelas bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari sama pegangannya dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau) yang kedua-duanya hidup sezaman yang menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah yang tersebut dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Sangat kemungkinan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari adalah murid pada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi yang tersebut, hal ini kerana jika dibandingkan kemunculan ulama Minangkabau tersebut lebih dulu muncul daripada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari.

Asal usul keturunan beliau.
Ayahnya Syeikh Mas'ud itulah yang dikatakan telah menemui syahidnya di dalam peperangan di antara Patani dan Kedah melawan Siam, iaitu bersama-sama kejadian hilangnya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Datuknya bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah.

Peristiwa yang sama berlaku pula kepada saudara kandung Syeikh Qadhi Haji Abu Su'ud yang bernama Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari diminta oleh Sultan Riau-Lingga supaya menjadi Mufti, mengajar istana dan rakyat Riau-Lingga dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam. Pendek kata semua adik beradik dan datuk/nenek kepada Syeikh Muhammad Thaiyib adalah ulama-ulama besar yang terkenal dan tidak asing bagi masyarakat Melayu di seluruh dunia Melayu.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu ayah kepada Syeikh Muhammad Thaiyib yang diriwayatkan dalam artikel ini. Daripada cerita di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang diriwayatkan ini sebelah ayahnya adalah berasal dari Banjar sedang sebelah ibunya berasal dari Kedah.

Pendidikan
Syeikh Muhammad Thaiyib Banjar-Kedah dipercayai memperoleh pendidikan asas dari ayah dan datuknya sendiri. Selanjutnya Syeikh Muhammad Thaiyib juga mempunyai konteks kepada kaum keluarganya yang menjadi ulama di negeri Banjar, Jawa, Bangka, Belitung dan Makkah. Banyak kali beliau pulang ke Banjar, atau pergi ke Makkah, atau di tempat-tempat yang diketahuinya ada kaum keluarganya yang menjadi ulama.

Pada masa usia mudanya lebih banyak menerima pelajaran daripada memberikan pelajaran. Tetapi manakala beliau telah meningkat tua adalah sebaliknya lebih banyak mengajar daripada menerima. Tidaklah diragukan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib tersebut adalah seorang ulama besar, bahkan anak beliau juga seorang ulama besar yang banyak jasanya dalam pembinaan ulama di Semenanjung Tanah Melayu.

Daripada sebuah kitab judul Miftah as-Shibyan fi 'Aqaidil Iman oleh Syeikh Muhammad Zain Nuruddin dapat diketahui sanad atau hubungan pengajian Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari ialah, "... hamba mengambil ilmu sharaf, dan nahu, dan fiqh, dan ilmu tasawuf, dan ilmu ushuliddin di dalam Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari kepada Syeikhina Walidiyi al-murabbiyi ruhiyi wal jasadiyi al-'Alim asy-Syeikh Abbas, Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi, ibnu al-Mukarram al-Haji Muhammad Lashub. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Ismail ibnu asy-Syeikh al-Khathib Sikin, dan daripada asy-Syeikh Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, dan daripada asy-Syeikh al-Allamah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi, dan daripada Syeikh 'Ali al-Qad-hi."

Daripada petikan ini dapat disimpulkan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi adalah termasuk salah seorang guru bagi Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, iaitulah ulama besar dunia Melayu yang terkenal penyusun kitab 'Aqidah an-Najin, Kasyf al-Litsam, Kasyf al-Ghummah, dan lain-lain.
Melalui sanad ini menurunkan beberapa orang ulama di Sumatera Utara, di antaranya ialah Syeikh Abbas bin Haji Muhammad Lashub Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi dan anak beliau Syeikh Muhammad Zain Nuruddin, Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari, Sumatera Utara, penyusun beberapa buah kitab.

Karya
Ada tiga risalah karya ulama yang berasal dari Banjar ini yang telah dijumpai, ialah: 1. Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah, 2. Fat-hul Hadi, 3. Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman, 4. Bidayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam. Risalah yang pertama, Miftah al-Jannah, pada satu naskhah catatan diselesaikan penulisan pada 16 Syawal 1247 H/19 Mac 1832 M pada naskhah yang lain pula dinyatakan pada 16 Syawal 1255 H/23 Disember 1839 M. Terdapat pelbagai edisi cetakan, cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1321 H dan 1327 H. Dicetak kombinasi dengan risalah-risalah Ushul at-Tahqiq, Mau'izhah li an-Nas, Tajwid al-Quran semuanya tanpa menyebut nama pengarang. Dan di tepinya pula dicetak risalah Asrar ad-Din juga tidak disebut nama pengarang.

Risalah yang kedua, Fat-hul Hadi, diselesaikan hari Isnin, 4 Jumadilakhir 1282 H/25 September 1865 M. Kandungan membicarakan ilmu tasawuf tentang haqiqat merupakan terjemahan dan petikan daripada kitab Syarh Tuhfah al-Mursalah Syeikh Muhammad Bin Fadhlullah Al-Burhanfuri yang disyarah oleh Syeikh 'Abdul Ghani an-Nablusi.

Pada bahagian akhir kitab Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari menyatakan, "Bermula yang membangunkan bagi aku pada yang demikian itu, dan jika tiada aku ahli bagi yang demikian itu, isyarat daripada putera Sultan kami dengan lisan halnya dan maqalnya serta elok segala perangainya dan af'alnya. Maka bahawasanya ia datang akan aku dengan kelakuan segala faqir-faqir dan meninggal ia akan segala pakaian bagi segala amir-amir. Serta bahawasanya ia kamil pada kemuliaan, dan kekayaan dan rakha. Bermula namanya itu seperti nama seorang Nabi yang asyiq akan dia oleh Zulaikha ..."

Risalah yang ketiga (Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman) dijumpai sebuah manuskrip yang diselesaikan pada tahun 1297 H/1879 M. Hanya sebuah itu saja manuskrip judul ini, tidak terdapat salinan lainnya. Dalam sebuah manuskrip terkumpul beberapa buah naskhah, bukan karya Syeikh Muhammad Thaiyib sendiri saja. Pada halaman 3 terdapat tulisan Syeikh Abdul Muthallib bin Tuan Faqih Kelantan di Mekah, tahun 1307 H/1890 M.

Kandungannya membicarakan mengganti sembahyang yang tertinggal menurut Mazhab Hanafi yang diamalkan dalam Mazhab Syafie. Halaman 6 sampai halaman 24 berasal dari tulisan Haji Abdur Rahman bin Haji Wan Thalib di dalam negeri Cenak, Kampung Temparak (Patani) tahun 1290 H. Membicarakan fiqh dimulai dengan membicarakan zakat. Halaman 35 sampai 51 iaitulah tulisan/karya Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud dengan judul yang telah disebutkan. Kandungan karya Syeikh Muhammad Thayib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi ini membicarakan ilmu tauhid, membahas Sifat Dua Puluh.

Daripada yang dipaparkan di atas, terdapat banyak bukti bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud banyak meninggalkan karya yang lain, di antaranya telah dijumpai sebuah naskhah yang beliau karang dalam bahasa Arab dan di bawahnya diberi makna dengan bahasa Melayu. Di akhir manuskrip tersebut beliau tulis nama orang tuanya dengan "Mas'ud asy-Syahid". Maksud asy-Syahid di sini ialah mati syahid dalam perang fi sabilillah melawan pencerobohan Siam terhadap Patani dan Kedah. Dengan dijumpai naskhah tersebut dapat memperkuat sekian banyak cerita masyarakat Melayu terutama di Kedah, Patani, Pontianak dan Banjar serta yang bertulis pula diriwayatkan oleh Tuan Guru Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang beliau ceritakan dalam kitab Syajaratul Arsyadiyah. Juga cerita rakyat yang mungkin ada pihak-pihak tertentu memandang cerita tersebut sebagai legenda atau dongeng.

Keturunan
Anak-anak Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud di Kedah di antaranya ialah Haji Muhammad Nashir, Haji Salman, Haji Abdullah dan Haji Abdur Rahman. Haji Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari yang tersebut menurunkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang sangat terkenal di Malaysia, Patani dan Banjar. Beliau ialah Tuan Guru Tuan Husein Kedah, atau nama lengkapnya Tuan Guru Haji Husein bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi.

Sebahagian jasa Tuan Husein Kedah yang tidak dapat dilupakan ialah pendidikan pondok yang diasaskannya di Pokok Sena, iaitu termasuk di antara pusat pengajian pondok yang terkenal di Malaysia pada zamannya. Sangat ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal baik di Malaysia mahu pun di tempat-tempat lainnya seperti di Indonesia, Patani dan lain-lain. Tuan Husein pula meninggalkan beberapa buah karangan meneruskan tradisi datuk nenek beliau mulai dari Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah al-Banjari ada yang masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang dan ada juga yang tidak beredar lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah cucu Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi ialah: 1. Hidayah ash-Shibyan, diselesaikan tahun 1330 H, 2. Qathr al-Ghaitsiyah, diselesaikan tahun 1348 H, 3. Bidayah ath-Thalibin, 4. Ushul at-Tauhid, 5. Hidayah al- Mutafakkirin dan lain-lain.
TUAN HUSSIN KEDAH DARI LELUHUR BANJAR Tuan Hussein keturunan ke5 Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari


APABILA kita membicarakan keturunan ulama yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab pengetahuan Islam di dunia Melayu, maka saham atau andel terbesar ialah keluarga besar ulama Patani, yang melibatkan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi. Sesudah ulama Patani, demikian juga keluarga besar ulama Banjar. Mengenainya dimulai oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan beliau.

Salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyatu darah dengan orang Kedah ialah Tuan Husein Kedah al-Banjari. Nama lengkapnya ialah Tuan Haji Husein Kedah bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bin Abdullah. Tuan Husein lahir di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, hari Ahad, 20 Jamadilawal 1280 Hijrah/2 November 1863 Masihi dan meninggal dunia pada hari Isnin, 18 Zulkaedah 1354 Hijrah/10 Februari 1936 Masihi).

Pendidikan

Tuan Husein Kedah al-Banjari sebaya umur dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang, Darul Qiyam, Kedah (Ulama Nusantara, Utusan Malaysia, Isnin, 31 Mei 2004) kerana sama-sama lahir dalam tahun 1280 Hijrah/1863/4 Masihi. Barangkali ada hubungan erat antara kedua-dua ulama itu kerana ibu Tuan Husein bernama Tengku Fatimah binti Tengku Mahmud, juga berasal dari daerah Kubang Pasu.
Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari, seorang ulama besar yang juga menghasilkan beberapa buah karangan. Pelajaran dilanjutkan di Patani, di Pondok Bendang Daya dan sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang DayaII). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga pernah belajar di Pondok Semela.
Untuk lebih memantap dan memperdalam pelbagai ilmu Tuan Husein melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Sewaktu di Mekah dipercayai Tuan Husein Kedah al-Banjari bersahabat dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang. Di antara guru kedua-duanya ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi. Di antara guru kedua-duanya yang paling muda ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan yang lebih tua antara tujuh atau lapan tahun saja daripada kedua-duanya.


"....Beliau sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam dan qalam demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam."

Sungguhpun tulisan ini pada mulanya adalah untuk memfokuskan penulisan kitab yang telah dihasilkan oleh Tuan Husein Kedah al-Banjari, namun perlu juga disentuh bahawa perjuangan beliau dalam segi mengajar sama ada di pondok pengajian yang diasaskannya mahupun mengajar kitab di tempat-tempat tertentu adalah sejalan, seimbang dan sama berat dengan penulisan. Oleh itu Tuan Husein Kedah dapat kita klasifikasikan sebagai seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/ penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam.

Penulisan

1. An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.
2. Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
3. Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330 Hijrah. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
4. Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356 Hijrah/April 1937 Masihi. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.
5. Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
6. Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377 Hijrah/1957 Masihi.
7. Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382 Hijrah/1962 Masihi.
8. Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343 Hijrah. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350 Hijrah. Dicatatkan, "Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30''.
9. Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
10. `Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
11. Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355 Hijrah (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jamadilawal1393 Hijrah.
12. Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
13. Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.
14. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350 Hijrah. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360 Hijrah. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.
15. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jamadilakhir 1352 Hijrah (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jamadilakhir 1360 Hijrah.
16. Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
17. Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
18. Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.
19. Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Al-Madrasah Al-Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''
20. Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe- merintahan.

Penutup

Gambaran ketekunan mengajar dan menulis ulama besar yang berasal dari Banjar dan Kedah yang sangat dikasihi oleh umat Islam di mana saja beliau menginjakkan kakinya. Selain itu beliau telah mewakafkan tanah miliknya di beberapa tempat beliau membina pondok pengajian, masjid, perkuburan Muslim dan lain-lain. Di antaranya yang dapat disaksikan sekarang ialah Sekolah Agama di Padang Lumat, Kedah, Sekolah Agama di Pokok Sena, Seberang Perai dan lain-lain.

HJ UMAR BESUT KETURUNAN BANGSAWAN PATANI Haji Umar Cik Ahmad - Tuan Guru Besut Terengganu

Nama lengkapnya Haji Umar bin Cik Ahmad bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Wan Cik bin Cik Wan Jat bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Jenal bin Cik Hamat bin Cik Wan. Beliau berasal dari Patani dan dilahirkan di Besut pada tahun 1295 Hijrah/1878 Masihi, lebih muda sedikit daripada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (1293 Hijrah/1876 Masihi - 1375 Hijrah/1956 Masihi) Beliau meninggal dunia di Kampung Raja, Besut, pada hari Selasa pukul 2.30 petang, 5 Zulhijjah 1360 Hijrah/23 Disember 1941 Masihi.
Pada namanya terdapat istilah "Cik Wan" atau dulunya ditulis dengan `Che' Wan' yang merupakan satu istilah keturunan bangsawan Patani yang berhak memerintah negeri. Istilah 'Cik Wan' adalah berbeza dengan istilah 'Wan' sahaja, walau pun sebenarnya masih termasuk dalam lingkungan satu kekeluargaan. 'Wan' sudah lupus haknya untuk menjadi raja dalam Patani. Jadi ulama yang diceritakan ini merupakan keturunan raja Patani yang mempunyai hak untuk memerintah dalam Negara Patani.
Daripada datuk nenek ulama inilah yang mencetuskan nama 'Besut', yang sekarang berada dalam kerajaan Terengganu. Bermula ceritanya bahawa Cik Wan melarikan diri belayar menuju ke sebelah Timur melintasi beberapa kuala. Akhirnya beliau berhenti di sebuah Pulau Ru yang berhadapan sebuah kuala, iaitu paling penghabisan dalam bahasa Patani disebut 'sut', ertinya tidak ada lagi sesudahnya atau penghabisan, maka dinamakanlah kuala itu dengan Kuala Sut, lama kelamaan berubah menjadi Kuala Besut.
Cik Wan yang berasal dari Patani meninggal dunia dalam peperangan. Kuburnya dijumpai di Pengkalan Kubor, Kuala Besut. Kubur tersebut merupakan kubur yang tertua di Kuala Besut. Demikianlah riwayat ringkas datuk nenek Tuan Guru Haji Umar yang sekali gus merupakan gambaran awal kerajaan Besut dan ulama-ulama yang berada di dalamnya.
PENDIDIKAN

Haji Umar memperoleh pendidikan asas dari lingkungan keluarga sendiri. Pendidikan al-Quran dan ilmu-ilmu asas yang lain beliau pelajari daripada ayah saudaranya Haji Ibrahim, adik beradik ayahnya. Ayahnya Haji Ahmad mempunyai sembilan adik beradik. Haji Ibrahim adalah yang paling alim dalam keluarga mereka, beliau pula sempat belajar kepada ulama besar Besut yang terkenal iaitu Syeikh Wan Hasan Besut bin Wan Ishaq al-Fathani. Syeikh Wan Hasan Besut adalah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari sini mempunyai silsilah dan sanad pelbagai ilmu Islam yang bersambung hingga yang lebih atas.
Sebelum Umar melanjutkan pelajaran di Mekah, beliau terlebih dulu memasuki salah sebuah pengajian pondok di Kelantan. Ketika di Mekah beliau di bawah bimbingan Tok Kenali, Tok Bacuk dan Tok Kemuning yang membolehkan beliau mengikuti pelajaran kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab Syeikh Ahmad al-Fathani mengajar orang-orang yang telah memperoleh ilmu yang banyak, maka Umar belajar kepada guru-guru yang lebih muda atau peringkat murid Syeikh Ahmad al- Fathani. Oleh itu Umar lebih banyak belajar kepada Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud), Syeikh Umar Sumbawa, Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan ramai lagi.
AKTIVITI

Setelah Umar memperoleh pelbagai bidang ilmu di Mekah, beliau pulang ke Besut. Dalam tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Palembang, iaitu sebuah kampung yang ramai dikunjungi orang pada zaman itu kerana tempat itu merupakan pelabuhan.
Sistem pengajian pondok Umar adalah seragam dengan pengajian-pengajian pondok lainnya, sama ada di Patani mahu pun dengan tempat-tempat lain di seluruh Semenanjung. Pengetahuan Islam sama ada yang berbahasa Melayu/Jawi mahu pun bahasa Arab adalah sangat ditekankan dalam pondok beliau.
Ada pun kitab-kitab Melayu/Jawi yang diajarkan terutama karangan guru-guru beliau atau karangan guru daripada guru beliau, di antaranya dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani, ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Mengenai fikah pula ialah Wusyahul Afrah, Mathla'ul Badrain, kedua-duanya karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dan lain-lain. Ilmu tasawuf ialah Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.
Pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi selain diajarkan kepada pelajar-pelajar pondok juga diikuti oleh masyarakat kampung. Walau bagaimanapun untuk pelajar-pelajar pondok lebih diutamakan kitab-kitab bahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Arab yang beliau ajar di pondoknya mulai daripada yang paling rendah hinggalah yang besar-besar, di antaranya ialah:Fathul Qarib, Fathul Mu'in, I'anatuth Thalibin. Ketiga-tiganya adalah mengenai fikah. I'anatuth Thalibin adalah karya Syeikh Abu Bakar Syatha, kitab tersebut ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-dua ulama itu adalah guru beliau. Kitab-kitab fikah dalam Mazhab Syafie peringkat tinggi juga diajarkan oleh Umar, kitab-kitab itu ialah Minhajut Thalibin, Fathul Waahhab dan Mahalli.
Kitab-kitab mengenai bahasa Arab, nahwu dan sharaf merupakan mata pelajaran yang dianggap wajib. Di antara yang diajarkan ialah: Matan `Awamil al-Jurjani, Matan al-Ajrumiyah, Mukhtashar Jiddan, Qathrun Nada, Kaukabud Durriyah dan Tashilu Nailil Amani. Tashilu Nailil Amani adalah karangan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada kitab-kitab asas ilmu nahwu yang tersebut akan membolehkan kepada kitab-kitab yang besar-besar yang juga diajarkan oleh Tuan Guru Haji Umar di pondok pengajiannya.
Umar Besut selain berkemampuan mengajar kitab-kitab akidah, fikah, nahwu, sharaf dan lain-lain, beliau juga mengajar kitab-kitab tasawuf. Di antara kitab tasawuf yang pernah diajarnya ialah Minhajul `Abidin karangan Imam al-Ghazali. Selain mengajar Minhajul `Abidin yang berbahasa Arab, beliau juga mengajar Minhajul `Abidin bahasa Melayu terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Walaupun ada orang menafikan Tuan Guru Haji Umar Besut mengamalkan sesuatu Thariqat Shufiyah, namun menurut keterangan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman (Kampung Raja Besut), beliau telah menemukan catatan bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut pernah mentalqinkan Thariqat Sammaniyah. Yang ditalqinkan Thariqat Sammaniyah itu ialah Haji Cik Man Banggul (Imam Tua Banggul) dan Haji Sulaiman bin Haji Ibrahim. Haji Sulaiman adalah salah seorang murid Tok Kenali. Haji Sulaiman adalah ayah saudara kepada Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman yang tersebut. Selain Thariqat Sammaniyah ternyata Tuan Guru Haji Umar Besut juga mengamalkan Shalawat Dalail al-Khairat. Kitab Shalawat Dalail al-Khairat pernah diamal oleh tuan guru itu yang tercatat ijazah daripada gurunya juga ada dalam simpanan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman. Dalam catatan pula bahawa setiap malam Jumaat Tuan Guru Haji Umar Besut mengadakan halaqah zikir yang dimulakan dengan bacaan Al-Asma' Al-Husna. Daripada keterangan yang tersebut, tidak diragui bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut adalah juga mengamalkan sesuatu Thariqah Shufiyah seperti ulama-ulama yang lain juga.
Selain yang tersebut di atas dalam peristiwa khilafiyah yang dibangkitkan oleh Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut bernama Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut dan Tuan Guru Haji Umar Besut termasuk dalam barisan ulama yang tidak sependapat dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu. Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut telah menyanggah pendapat Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu dalam sebuah tulisannya bertarikh malam Isnin, 29 Syawal 1334 Hijrah. Sebelum sanggahan itu dikirim kepada Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut itu telah bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Umar Besut yang diriwayatkan ini.
KETURUNAN DAN MURID-MURID

Umar Besut berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan saudara sepupunya bernama Hajah Khadijah, memperoleh tiga orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad. Haji Wan Muhammad ini adalah Mufti Perak Darul Redzuan yang pertama. Usia Hajah Wan Sa'idah sekarang sudah hampir seratus tahun. Beliau menetap di Kampung Raja, Besut. Penulis sempat menemubual beliau (8 Mac 2004). Banyak cerita menarik diperoleh daripadanya. Di antaranya sewaktu beliau ke Mekah yang pertama bersama ayahnya, beliau mengenali Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Nur al-Fathani. Kedua-dua ulama itu menurutnya sangat banyak keistimewaannya.

* Tuan Haji Muhammad Zain bin Muhammad Amin adalah Mufti kerajaan Perak Darul Redzuan yang pertama dan juga bapa mentua kepada Tuan Guru Umat Besut dalam artikel ini, beliau menjawat jawatan mufti dijabatan Mufti kerajaan Perak dari tahun 1935 hingga 1941, Dato' Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria mufti kerajaan Melayu Perak sekarang adalah mufti yang ke lapan mengikut turutan.

Perkahwinan Umar Besut dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad memperoleh anak enam orang. Di antaranya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz. Beliau ini pernah berkahwin dengan anak Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Ustaz Haji Abdul Aziz adalah seorang penulis buku-buku untuk sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah agama di Kelantan.
Sebagai guru pengajian pondok yang lain juga, Umar Besut telah menurunkan murid yang ramai terutama di sekitar Besut atau seluruh Terengganu dan Kelantan. Murid-murid beliau itu ramai pula yang membuka pondok pengajian di beberapa tempat. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Saleh, Bukit Puteri, Besut, Tuan Guru Haji Abbas bin Muhammad, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Lathif bin Awang, Alor Keladi, Jeretih, Besut, Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin Haji Abdullah, Kampung Nering, Pasir Putih, Tuan Guru Haji Husein bin Awang Hamat, Pengkalan Pauh, Jeram, Pasir Putih dan ramai lagi.

Wednesday, December 9, 2009

TOK KONOK

Nik Zainal Abidin bin Nik Ismail (1830-an - 1893) atau lebih dikenali sebagai Tok Konok merupakan salah seorang tokoh ulamak di nusantara yang terkemuka.

Nik Zainal Abidin bin Nik Ismail atau nama penuhnya Haji Nik Zainal Abidin bin Nik Ismail merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara.

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Sunday, December 6, 2009

27 bukan 72

Dua tujuh satu jalan,
Jalan benar lagi benar,
Tujuh dua lain jalan,
Jalan sesat tiada petunjuk yang benar,
Dua tujuh di nyata oleh hamba dengan MENGAGUNGKAN RAJA,
Dalam 7 ayat di baca berulang - ulang,
Di dalam solat DIA BeRAJA,
Maqam TUHAN maqam hamba maqam doa,
Dihayati dan mati berulang - ulang,
Dua nafas roh dan jasad,
Tujuh ayat dinyata dengan lidah,
Tujuh ayat juga dinyata dengan hati,
Dinyata juga dengan perbuatan jasad,
Dibawa dalam kehidupanyang indah,
Dengan sifat waspada dan berhati - hati,
Dua tujuh membawa roh dan jasad,
Dalam mengenal hamba dan RAJA dengan asmaNYA Al- FATAH,
Sebesar - besar kurnia dan rahmatNYA dapat petunjuk untuk roh dan jasad,
Petunjuk benar lagi benar di jalan yang lurus dinyata dalam AL - FATIHAH.

Pantun MenGenaL diRi

BISMILLAH itu mula disebut,
Rahman dan Rahim sifat mengikut,
Dunialah akhirat nyatalah luput,
Jalan hakikat pula diturut.

Alhamdulillah pujinya Insan,
Robbil Alamin sifatnya Tuhan,
Selawat Nabi akhir zaman,
Muhammad Amin Abi Burahman.

Jalan yang takzim pula dikata,
Atas Nabi junjungan kita,
Sahabat empat nyatalah serta,
Tiada berhenti sekejap masa.

Jalan hakikat sangat terbilang,
Tiada binasa urat dan tulang,
Daging dan darah tiada hilang,
Maka sifat itu dibawa pulang.

Jikalau sifat kita sudah binasa,
Kepada Nabi tiada berjumpa,
Segala amalan tiada tiba,
Tiada dapat syurga yang baqa'.

Jangan binasa sifatmu tuan,
Tiada bertemu hamba dengan Tuhan,
Hakikat kita tinggal di jalan,
Segala amalan menjadi haiwan.

Jika begitu kalau kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tidak membawa wahyu,
Allah tiada mungkirkan janji.

Mengenal Tuhan tak boleh nyata,
Kerana tak boleh dipandang mata,
Hingga diri jua dicita,
Kenal olehmu sifatnya kita.

Tatkala Adam dengan Hawa,
Dendam berahi antara keduanya,
Napi dan Isbat itulah Dia,
Kepada kita menjadi rahsia.

Cari guru mengenal diri,
Yang diamanat olehlah Nabi,
Jangan takut penat dan rugi,
Asalkan dapat ilmu sejati.

Guru yang mursyid hendaklah dicari,
Itulah ulamak mewarisi Nabi,
Jika di situ ia mengajari,
Di situlah tuan menyerah diri.

Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Mengenal waktu biarlah tentu,
Jikalau tak kenal waktu itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.

Waktu kita di alam roh
Berkata Allah pada nyawa,
Bukankan AKu Tuhanmu segala,
Betullah Tuhan itu katanya nyawa.

Jadi olehmu mursyid yang utama,
Yang sebenar makrifah boleh dibawa,
Seperti badan dengannya nyawa,
Dunia akhiran bersama-sama.

Hakikat makrifat menyucikan badan,
Air Maal Hayat yang menjalankan,
Zikrullah yang diasyikkan,
kurangkan tidur ataupun makan.

Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Zahir ddan batin semuanya lapang,
Kerana Sir yang empunya pandang.

Wahai saudaraku dengarlah tuan,
Yang sebenar hidup itu katanya Tuhan,
Kuntum yang tujuh di situlah tersimpan,
Itulah pakaian Wali 9.

Kuatnya tubuh itulah nyawa,
Sekalian yang zahir takluk padanya,
Syurga yang tujuh dia yang punya,
Kepada kita menjadi rahsia.

Jalan hakikat sangat terpilih,
Hendaklah tahu asalnya benih,
Napi di dalam hati yang putih,
Makrifat kita baharulah jernih.

Adapun sifat makni itu tiada bersekutu,
Sifat Allah namanya itu,
Tiada boleh bandingankan sesuatu,
Wujud Allah namanya itu.

Tuntutlah ilmu walau di mana,
Amal dan ilmu tiada terhinga,
Amal tanpa ilmu diazab kita,
Di akhirat tiada berguna.

Kejadian kita dari air yang lazat,
Cahayanya seperti kilat,
Tatkala asyik tiada ingat,
Baharulah ada junub dan janabat.

Di wadi mani manikam,
Asalnya ia daripada kalam,
Dengan khudrat Tuhan Halikul Alam,
Yang menjadikan tubuh anak Adam.

Jika begitu kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tidak mendapat wahyu,
Allah tiada mungkirkan janji.

Jika tarekat hendak dibawa,
Carikan guru akan petuanya,
Supaya kita jangan bertuhankan nyawa,
Hakikat kita tiada derhaka.

Syarat rukunnya sudah diketahui,
Sah batalnya demikian lagi,
Amal diterima Tuhan Ilahi,
Syarat rukunya sudah diketahui.

Siapa beramal dengan Jahalnya,
Tiada tahu sah batalnya,
Amal tiada diterima Tuhanya,
Di dalam neraka kekallah kita.

Wahai segala saudara-saudaraku,
Mengenal Kaabah biarlah tentu,
Jikalau tak kenal Kaabah itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.

Wahai saudara tua dan muda,
Fikirkanlah kamu sentiasa,
Janganlah seperti orang yang buta,
Tinggal ilmu mencari harta.

Hidup tiada ingat akan mati,
Bersuka ria sepanjang hari,
Hanya harta dapatkan diri,
Tiga lapis kain kapan sahaja dia beri.

Jalan hakikat bukannya kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Jikalau hati syak dan waham,
Cahaya yang terang menjadi kelam.

Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Jalan hakikat demikianlah itu,
Jikalau boleh pintalah selalu,
Jangan binasa sifatmu itu.

Hati yang mukmin suci dan ikhlas,
Laksana air di dalam gelas,
Cuci hatimu seperti kapas,
Makrifah kita baharulah jelas.

Syariat itu martabatnya tinggi,
Yang dipakai oleh Saidina Ali,
Barang siapa dapat asalnya jadi,
Yang bergantung tiada bertali.

Syariat, tarekat terlalu mulia,
Itulah pakaian Wali Ambia,
Barang siapa dapat asalnya,
Bolehlah membawa badan serta nyawa...


Dipetik dari kitab 'Rahsia Mengenal
Diri'

Monday, November 23, 2009

kekasih


Nabi & Rasul
Nabi adalah seorang manusia biasa yang mendapat keistimewaan menerima wahyu dari Allah SWT. Di antara para nabi ada yang diamanatkan untuk menyampaikan wahyu yang diterimanya kepada umat manusia. Nabi yang demikian disebut Rasul.
Semua nabi dan rasul biasanya diperlengkapi dengan mukjizat, yaitu perbuatan luar biasa yang dapat dilakukan para nabi dan rasul, biasanya digunakan untuk membuktikan diri mereka sebagai nabi atau rasul.
Semua rasul adalah nabi, tapi tidak semua nabi adalah rasul. Ada 25 nabi dan rasul yang wajib kita ketahui sebagai umat Muslim. Nama-nama 25 nabi dan rasul tsb tertera dalam Al-Quran. Berikut adalah nama-nama mereka..

Adam AS
Idris As
Nuh AS
Hud AS
Shaleh AS
Ibrahim AS
Ismail AS
Luth AS
Ishaq AS
Ya'qub AS
Yusuf AS
Ayyub AS
Zulkifli AS
Syu'aib AS
Musa AS
Harun AS
Daud AS
Sulaiman AS
Ilyas AS
Ilyasa AS
Yunus AS
Zakaria AS
Yahya AS
Isa AS
Muhammad SAW

Sunday, November 22, 2009

Kenal diri kenal ALLAH

Makrifatullah : Jalan Keselamatan Diri Dunia Akhirat Firman Allah dalam surah az-Zumar ayat 9 : “Adakah sama orang jahil dengan orang yang berilmu?”

Menurut ahli tasawuf, berilmu yang dimaksudkan di sini ialah Ilmu Makrifatullah. Inilah ilmu yang paling utama dan penyelamat bagi manusia. Mengenal Allah secara ilmu zahiri adalah sebagai pengenalan awal kepada diriNya sedangkan pengenalan melalui cahaya hati adalah pengenalan yang hakiki. Hati yang bersih akan tersingkap baginya pelbagai rahsia ketuhanan.

Semakin ia bersih, semakin memancarlah makrifat pada hatinya. Hati yang memancar ini adalah hati yang melalui proses ilmu, ibadah dan mujahadah yang istiqamah. Mereka yang tersingkap kepadanya rahsia ihsan (sentiasa melihat Allah atau Allah melihatnya) imannya tidak perlu kepada dalil atau bukti untuk membuktikan wujud Tuhan. Ini kerana hatinya sentiasa melihat Allah di dalam pandangan dan pendengarannya di mana saja ia berada.

Firman Allah : “Dimana kamu hadap di situlah wajah Allah SWT.” (Al-Baqarah : 115)

Hati yang bersih dari segala hijab keduniaan dan nafsu akan melihat dan merasai ayat-ayat Allah dengan pandangan hakikat. Inilah kasyaf yang hakiki di mana hatinya dapat menangkap rahsia ayat-ayat Allah dengan penglihatan yang haq.
Firman Allah : “Sesungguhnya tidaklah menyentuh Al-Quran itu melainkan mereka yang suci…”
Ayat ini ditafsir oleh ulama tasawuf dengan maksud bahawa ayat-ayat Allah tidak akan berada dalam jiwa yang kotor. Bacaan mereka hanyalah di lidah, bukannya di hati. Ilmu mereka hanyalah di akal tapi tidak di hati. Tanyalah diri sendiri, bagaimanakah perasaanmu bila membaca ayat :
“Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana kamu berada.” (al-Hadid : 4)

Kalau hati kamu keras dan tidak merasa apa-apa, ayat di atas hanyalah sekadar suatu maklumat pada akalmu sahaja. Dan apabila hal keTuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila kamu berfikir pada perkara yang lain pula. Tetapi jika hatimu bersih, ayat ini dapat dirasai dan dilihat dengan pandangan cahaya hati sehingga merasai kebersamaan dengan Allah di mana saja berada.

Mereka yang mengingati Allah dalam penghayatan dan penglihatan akan merasai kelazatan iman dan makrifat yang tidak terhingga. Allah adalah kekasihnya dan ia meninggalkan apa jua yang boleh melalaikan ia dengan Allah. Allah adalah yang dirindui dan ia menjadi perindu, Allah menjadi pujaan dan ia sebagai pemuja.

Sesiapa yang mengenal Tuhan, ia akan mencintai Tuhan dan leburlah segala keindahan yang lain. Sesiapa yang mengenal Tuhan, tiadalah ia resah gelisah dengan apa jua yang menimpanya. Memancar pada hatinya sifat kecintaan, keyakinan, ketakwaan, kerinduan dan ia mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini disebabkan hatinya sentiasa bercahaya dengan zikrullah dan Allah memberi pengakuan dengan firmanNya :
“Dan ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadanya…” (al-Baqarah : 152)

Apabila Allah mengingatinya, nescaya hatinya dipenuhi dengan cahaya kebenaran dan terhapuslah cahaya kebatilan yang datang dari syaitan.
Firman Allah : “Apabila datangnya kebenaran akan terhapuslah kebatilan…” (al-Isra’ : 81)

Ada juga yang mentafsirkan mengingati Allah dengan melakukan kebaikan sedangkan pentafsiran seperti ini adalah berbentuk umum dan tidak muafakat di kalangan mufassirin yang muktabar, apatah lagi tafsiran yang dihurai oleh ulama-ulama tasawuf yang merupakan pakar dalam bidang kejiwaan manusia.
Wallahu ‘alam.
Petikan buku : Bicara Hikmah II

HAL RAHSIA DIRI

hal rahsia diri

Ilmu zahir ada 12 macam dan ilmu batin pun 12 macam dibahagi kepada golongan umum dan golongan khusus menurut kadar perjuangannya.
Dari 24 macam ini terbagi ia kepada 4 bab.

Bab 1 - Zahir Syariat - iaitu tentang perintah dan larangan serta hukum - hukum.
Bab 2 - Batin Syariat - yang disebut Ilmu Batin dan Tariqat.
Bab 3 - Ilmu Batin yang disebut Ilmu Ma’rifat.
Bab 4 - Ilmu Hakikat
.

Manusia diharuskan menguasai bab keempat tadi, seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Syariat bagaikan pohon, Tariqat bagaikan cabang; Ma’rifat bagaikan daun dan Hakikat bagaikan buah”.
Al-Quran mencakup 4 bab di atas dengan petunjuk dan isyarat secara tafsir dan takwil. Penyusun Kitab ‘Al - Majma’ berfatwa bahawa tafsir bagi awam dan takwil bagi orang khusus, kerana orang - orang khusus ini adalah ulama’ yang ‘rusukh’.
Rusukh maknanya tetap kuat, kukuh dan teguh di bidang ilmu. Sifat ini dimiliki oleh ulama Rasikhin iaitu suatu hasil dari kalimat yang ditanamkan di lubuk hati setelah berupaya membersihkan hati. Bukti ketinggian martabat ulama Rasikhin adalah ayat Al-Quran yang mencantumkan lafaz Rasikhin yang di’athafkan kepada lafaz Jalalah (Illallah) dalam ayat ‘Syahidallahu….’ dan seterusnya di dalam Surah Ali Imran: 18;
Mufassir Tafsir Al - Kabir berkata :

“Bila pintu yang ini (Rasikhin) telah terbuka, maka akan terbukalah segala yang batin. Seorang hamba diwajibkan melaksanakan perintah, menjauhi larangan dan melawan nafsu di seluruh daerah yang empat,


Mulki (jasad)
Malakut (hati)
Jabarut (fuad)
Lahut (sir)


Nafsu menggoda didaerah syariat dengan membuat perlawanan - perlawanan.
Sedangkan di daerah Tariqat, nafsu menggoda dengan mendorong dan menyetujuinya tetapi di dalamnya terkandung tipuan seperti pengakuan menjadi nabi, wali dan sebagainya.
Sedangkan di daerah ma’rifat nafsu menggoda dengan syirik khafi (penyekutuan yang samar) yang bangsa cahaya seperti pengakuan menjadi tuhan. Allah berfirman (Al-Furqan:43): “Engkau mengetahui orang - orang yang menjadi Tuhan sebagai hawa nafsunya”
Di daerah Hakikat pula syaitan, nafsu dan malaikat tidak dapat memasukinya sebab bila berada di situ akan hangus, kecuali AlLah. Jibril a.s. berkata : “Kalau aku memasukkan hujung jariku ke alam ini maka hanguskah aku.
Manusia yang telah mencapai alam ini bererti dia selamat dari dua seteru; dan jadilah dia manusia yang ikhlas
”. Sesuatu yang tidak mencapai hakikat, maka dia tidak akan mencapai ikhlas kerana sifat - sifat ‘Basyariyyah Ghairiyyah’ (sifat manusia selain Tuhan) tidak akan hancur, kecuali dengan ‘Tajalli Zat’.

Sifat bodoh hanya akan hilang dengan Ma’rifat Zat. Allah akan memberi ilmu orang yang sampai ke darjat ini tanpa perantaraan. Manusia akan mengenal AlLah kerana diperkenalkan oleh AlLah dan beribadat kepada AlLah dengan pendidikan AlLah, seperti Nabi Khidir a.s. Di alam ini dia akan menyaksikan Ruh - ruh Qudsiyah dan mengetahui Nabinya (Muhammad SAW) secara hakiki. Maka akan berbicaralah dari akhirnya hingga permulaannya.
Seluruh nabi menyampaikan khabar gembira atas keberhasilan si hamba kerana sampai kepada AlLah yang kekal. Firman AlLah (Surah An-Nisa’:69):
“Dan mereka itulah teman sebaik - baiknya”.

Amaliyah bagi Ruh Jasmani adalah menggunakan Ilmu Zahir. Pahalanya hanya syurga. Maka di sana akan jelaslah kebaikan dari sifat (orang yang beribadah akan masuk syurga; sebaliknya orang yang tidak beribadah akan masuk neraka).
Sedangkan untuk masuk ke ‘Haramil Qudsiyah’ dan dekat dengan AlLah tidak cukup bila hanya menggunakan Ilmu Zahir saja. Untuk ke sana harus dengan Ilmu Terbang; dan terbang itu harus menggunakan dua sayap. Bila satu, maka perjalanan akan pincang. Maka dengan kesepaduan Ilmu Zahir dan Batin barulah sampai seorang hamba ke Alam Qudsi.
AlLah berfirman di dalam Hadis Qudsi:
“Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana
alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;
alam Malakut, syaitan bagi orang Arif;
alam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah”.

Wajib bagi semua manusia mengetahui ukuran dirinya dan jangan mengaku sesuatu yang bukan haknya. Imam Ali berkata: “AlLah menyayangi orang - orang yang mengetahui kadar dirinya dan tidak melewati batas perjalanannya; menjaga lisannya dan tidak mensia - siakan umurnya”.
Seorang Alim harus mampu mencapai makna hakikat manusia yang disebut Tiflul Ma’ani (Bayi Ma’nawi). Setelah itu harus mendidiknya dengan tetap melakukan Asma Tauhid dan keluar dari alam Jasmani ke alam Ruhani, iaitu alam As-Sirri yang di sana tidak sesuatupun selain AlLah. Sir itu seperti lapangan dari cahaya, tidak ada hujungnya. Inilah Maqam Al-Muwahidin.
Mudah - mudahan tulisan di atas bermanfaat dan menjelaskan sedikit sebanyak hal rahsia diri - insan. Berusahalah untuk mencapai ke tahap itu melalui tunjukan guru atau orang yang ahlinya. Ada di antaranya sengaja tidak dihuraikan dengan lebih lanjut kerana sebagiannya adalah rahsia yang perlu dibicarakan secara khusus.

HU..ALLAH

Siapa yang jahil tentang ZatKu.
Di bawah tabirKu.
Dia akan bertanya di mana Aku?.
Katakan...
Aku sentiasa ada.

Di mana sahaja.
Aku tidak tertakluk kepada ruang atau lompang.
Marilah ke Hadirat Ilahi yang kekal abadi.
Adakah yang lain sekutu bagiNya?...
Anda berada dalam hampirNya itu.

Janganlah ditempatkan Dia.
ZatNya itu tidak terjangkau oleh selain daripada Dia.
Tidak terjangkau dan tidak tercapai.
Dia tersembunyi dalam penzhohiranNya.
Hijab demi hijab menyelubungi .
Hu...Allah..
Amin.

Bila aku kenali Aku


Bila aku kenali Aku

Bila aku kenali Aku.
Maka tiadalah aku.
Lenyaplah aku.
Sekiranya aku tahu.
Diriku adalah Aku.
Sudah pasti aku.
Kembalikan rahsia.
aku kepada Aku.
Maka carilah... ?
aku dekat Aku.
aku dalam diriku.